Hari Thaipusam merupakan satu perayaan yang disambut oleh
masyarakat beragama Hindu di seluruh dunia. Perayaan ini bagi
menghormati dewa Hindu, iaitu Lord Murugan. Perayaan ini disambut pada
bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil yang dikenali juga sebagai bulan
'Thai'.
Bagi penganut yang beragama Hindu,
Thaipusam adalah hari untuk menghapuskan dosa-dosa dan bertaubat
sepenuhnya akan kesalahan yang lepas.
Sebelum
menyambut Thaipusam, penganut agama Hindu akan berpuasa selama sebulan
untuk tujuan membersihkan jiwa. Dalam tempoh sebulan ini, mereka
berpuasa dengan makan sayur sehari sekali dan sentiasa mengunjungi kuil.
Dua puluh empat jam sebelum menyambut Thaipusam pula, mereka akan
berpuasa sepenuhnya.
Masyarakat yang beragama
Hindu di Malaysia, biasanya akan menyambut perayaan Thaipusam ini di
Batu Caves, iaitu sebuah tempat suci bagi masyarakat Hindu di sini.
Pada
hari Thaipusam, penganut agama Hindu akan membawa patung Dewa
Subramaniam, iaitu anak bongsu Dewa Siva, di atas pedati perak dan
diarak dengan muzik tradisi. Selain itu, antara ciri utama perayaan
Thaipusam ini, penganut agama Hindu juga akan membawa 'kavadi', iaitu
sebuah kerangka besi yang dihiasi dengan bunga, kertas berwarna-warni,
dan buah-buahan segar yang dijunjung di atas bahu. Ini adalah sebagai
tanda membayar nazar atau bertaubat kepada Dewa Subramaniam.
Bagi
sesetengah penganut agama Hindu juga, mereka akan mencucuk logam atau
besi yang menembusi kulit tubuh, lidah, pipi, dan anggota badan yang
lain bagi tujuan membersihkan dosa dan menyucikan diri. Mereka akan
berkumpul beramai-ramai sambil membawa 'kavadi'. Biasanya, pembawa
'kavadi' ini berada dalam keadaan terpukau sambil mengikut rentak lagu
yang dimainkan.
Di Malaysia, pembawa 'kavadi'
ini akan berarak dan menaiki 272 anak tangga di Batu Caves sehingga
sampai di pintu gua dan meletakkan kavadi dihadapan patung dewa. Selain
itu, penganut agama Hindu juga akan membawa kelapa, madu, dan susu untuk
dipersembahkan kepada dewa-dewa bagi mendapatkan restu.
Perayaan
Thaipusam di Malaysia, biasanya disambut secara meriah bagi masyarakat
yang beragama Hindu. Perayaan ini turut mendapat perhatian daripada
masyarakat yang berbangsa lain. Oleh itu, tidak hairanlah banyak
pelancong yang datang dan merakamkan suasana menarik semasa sambutan
perayaan ini.
BERIKUT IALAH VIDEO PENYAMBUTAN PERAYAAN THAIPUSAM
No comments:
Post a Comment