Ceritera Mengenai Saya

Monday, 24 March 2014

Sunday, 16 February 2014

10) PERAYAAN DI MALAYSIA

HARI WESAK


Hari Wesak merupakan hati terpenting bagi penganut agama Buddha kerana hari Wesak melambangkan kelahiran, kesedaran, dan kematian Gautama Buddha. Penganut Buddha akan mengunjungi kuil Buddha pada waktu pagi untuk memusatkan fikiran kepada lapan prinsip "Precepts" sementara para sami yang memakai sarung kuning akan membaca kitab Buddha "Sutras". Hari Wesak juga dikenali dengan nama Visakah Puja atau Buddha Purnima di India, Vesak di Singapura, Visakha Bucha di Thailand, dan Wesak di Sri Lanka.

Selepas itu penganut Buddha akan bersembahyang dan melepaskan burung merpati. Hari Wesak juga merupakan hari memberi makan kepada orang miskin dan sedekah kepada para sami. Hari Wesak dirayakan oleh semua penganut agama Buddha di seluruh dunia.

Dikalangan penganut Buddha di Singapura dan Taiwan, terdapat amalan mencederakan diri ketika menyambut hari Wesak seperti berjalan di atas bara api sebagai menyambut hari kelahiran dewa Bao-sheng Da-di.

  1. Ia dirayakan dalam bulan Mei pada waktu terang bulan (purnama sidhi) untuk memperingati tiga peristiwa penting, iaitu:
    Kelahiran Siddharta Buddha di Taman Lumbini pada tahun 623 S.M.
  2. Siddharta Buddha mendapat ilham Agung dan menjadi Buddha di Buddha-Gaya pada usia 35 tahun di tahun 588 S.M.
  3. Buddha Gautama mangkat di Kusinara pada usia 80 tahun di tahun 543 S.M.





9 ) PERAYAAN DI MALAYSIA

HARI GAWAI

Perayaan Gawai disambut oleh masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai padi. Pesta Gawai juga dikenali sebagai Gawai Dayak. Pesta Gawai pada kebiasaannya disambut pada akhir bulan May atau awal bulan Jun setiap tahun. Perayaan ini selalunya disambut oleh masyarakat Dayak di Sarawak pada 1 hb Jun setiap tahun.

Pesta Gawai di Sarawak disambut dengan meriah di bandar-bandar dan di desa dengan persembahan tarian, minuman tuak 'arak beras', dan bersuka-ria. Kuih-muih tradisional yang diperbuat daripada tepung beras, gula dan santan juga disediakan. Pesta Gawai di Sarawak telah disambut secara besar-besaran semenjak 1964.

Perayaan Gawai Dayak bermula dengan upacara membuang sial oleh Tuai Gawai. Tuai Gawai memulakan upacara ‘miring’ ini diruai (beranda) rumah panjang. Beliau berdoa supaya dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Pada jam 12.00 malam upacara minum air pengayu dilakukan dengan harapan supaya panjang umur, sihat dan makmur. Pada pagi 1 hb Jun, tepat jam 7.00 pagi, tuai rumah dengan diiringi oleh beberapa penghuni rumah panjang menghantar piring persembahan ke tiang pengingat iaitu sejenis kayu yang sering digunakan untuk mendirikan rumah panjang.

Pada hari pesta Gawai, pelbagai jenis makanan dan air tuak akan dipersembahkan kepada Dewa Padi dan Kekayaan. Satu puisi khas untuk Pesta Gawai akan dibacakan oleh salah seorang daripada mereka sebelum merenjiskan darah ayam jantan ke atas bahan persembahan. Bahan persembahan yang basah dengan darah ayam jantan itu dianggap sebagai pembuka rasmi Pesta Gawai.

Setelah upacara persembahan telah selesai, perayaan Gawai secara tradisi dimulakan. Seluruh masyarakat berkumpul sekitar 'ranyai' atau pokok istiadat yang dibawa masuk kedalam dan diletakkan di serambi umum di rumah panjang. Perayaan berpusat sekitar ranyai dengan makanan dan minuman tuak. Perayaan Gawai merupakan masa untuk semua orang bersuka-ria sambil menjamu hidangan bersama air tuak.

Salah satu acara paling menarik pada perayaan Gawai adalah Ngajat Lesong. Penari akan menunjukkan kekuatan dengan mengangkat lesung menumbuk padi dengan menggunakan giginya.

Ketika perayaan Gawai, perhiasan tradisional Orang Ulu yang diperbuat daripada manik-manik yang diwarisi turun temurun dan tidak ternilai harganya, akan dipakai untuk dipamirkan. Anak dara orang Iban juga akan mengenakan perhiasan perak yang menonjolkan lagi kecantikan paras rupa mereka.

Pesta Gawai dianggap berakhir apabila ranyai atau pokok istiadat dibuang.








TARIAN PESTA GAWAI


8 ) PERAYAAN DI MALAYSIA

KRISMAS

Hari Krismas atau juga dikenali sebagai Hari Natal, adalah perayaan terbesar untuk penganut agama Kristian, disambut setiap tahun pada tarikh25 Disember bagi memperingati kelahiran Jesus dari Nazareth, pengasas ajaran Kristian. Menurut Kitab Bible Perjanjian Baru, Jesus dilahirkan oleh Maria (Virgin Mary) di Jurusalem. Penganut Kristian mempercayai bahawa kelahiran Jesus ini menepati ramalan-ramalan agama Yahudi mengenai kedatangan seorang penyelamat (Messiah) dari susur galur Raja David, yang kedatangannya adalah untuk menebus manusia dari dosa-dosa Adam (original sin). Adat resam moden perayaan ini termasuk pemberian hadiah, sambutan keagamaan di gereja, dan peragaan pelbagai hiasan, termasuk pokok Krismas, lampu hiasan, daun mistletoe, holi atau lakonan semula kelahiran Jesus (Anunciation). Santa Claus adalah merupakan tokoh mitos terkenal yang sering dikaitkan dengan adat memberi hadiah sempena Hari Krismas. Santa dipercayai merupakah hasil gabungan St. Nicholas dari Myra dan unsur-unsur Mitologi Nordic dengan mitologi Kristian, sementara penampilan modennya dipercayai hanya timbul pada abad ke-19. Sambutan Hari Krismas sangat penting bagi gereja, iaitu sewaktu untuk mengadakan upacara atau majlis sambutan istimewa. Berikut ialah cara-cara Krismas disambut di gereja. Paparan kelahiran Jesus Christ Kebanyakan gereja mengamalkan adat memaparkan babak kelahiran Jesus. Dimulai oleh St. Francis dari Asissi pada abad ke-13, tradisi yang berasal dari Itali ini diperluaskan ke banyak negara lain. Babak kelahiran ini dipaparkan dalam bentuk patung sebesar saiz manusia, ataupun sekecil kotak mancis, diperbuat dari pelbagai bahan termasuk kayu, tembikar, kertas, kain, jerami, dan logam yang berwarna-warni.
Lingkaran Kedatangan (Advent wreath) ialah selingkaran daun-daun pain, ivy dan holi, dengan lima batang lilin di dalamnya yang digantung di dalam gereja. Lilin-lilin ini dinyalakan pada setiap Ahad pada musim Kedatangan, dan lilin di tengah dinyalakan pada pagi Hari Krismas. Gereja selalu dihiasi dengan dahan dan daun hijau, di samping juga dimasukkan pohon Krismas.

 

Pembacaan kitab


Pada hari Krismas, diadakan sesi pembacaan kitab yang menceritakan kisah kelahiran Jesus yang terkandung di dalam kitab Bible, di samping bacaan-bacaan suci lain yang mengisahkan tentang bahaya kerakusan hawa nafsu manusia, dan mengenai datangnya Penyelamat (Messiah) yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada bangsa manusia.

 

Karol


Kebanyakan gereja juga mengamalkan upacara nyanyian karol yang dipersembahkan di dalam suasana nyalaan lilin, kebanyakannya melibatkan nyanyian atau bacaan suci Bible oleh koir dan juga para penganut yang taat.


MAKANAN TRADISI  PERAYAAN KRISMAS


Makanan yang selalu di hidangkan semasa perayaan krismas ialah ayam belanda. 

 
 

Suasana penyambutan Hari Krismas






7 ) PERAYAAN DI MALAYSIA

THAIPUSAM


Hari Thaipusam merupakan satu perayaan yang disambut oleh masyarakat beragama Hindu di seluruh dunia. Perayaan ini bagi menghormati dewa Hindu, iaitu Lord Murugan. Perayaan ini disambut pada bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil yang dikenali juga sebagai bulan 'Thai'.

Bagi penganut yang beragama Hindu, Thaipusam adalah hari untuk menghapuskan dosa-dosa dan bertaubat sepenuhnya akan kesalahan yang lepas.

Sebelum menyambut Thaipusam, penganut agama Hindu akan berpuasa selama sebulan untuk tujuan membersihkan jiwa. Dalam tempoh sebulan ini, mereka berpuasa dengan makan sayur sehari sekali dan sentiasa mengunjungi kuil. Dua puluh empat jam sebelum menyambut Thaipusam pula, mereka akan berpuasa sepenuhnya.

Masyarakat yang beragama Hindu di Malaysia, biasanya akan menyambut perayaan Thaipusam ini di Batu Caves, iaitu sebuah tempat suci bagi masyarakat Hindu di sini.

Pada hari Thaipusam, penganut agama Hindu akan membawa patung Dewa Subramaniam, iaitu anak bongsu Dewa Siva, di atas pedati perak dan diarak dengan muzik tradisi. Selain itu, antara ciri utama perayaan Thaipusam ini, penganut agama Hindu juga akan membawa 'kavadi', iaitu sebuah kerangka besi yang dihiasi dengan bunga, kertas berwarna-warni, dan buah-buahan segar yang dijunjung di atas bahu. Ini adalah sebagai tanda membayar nazar atau bertaubat kepada Dewa Subramaniam.

Bagi sesetengah penganut agama Hindu juga, mereka akan mencucuk logam atau besi yang menembusi kulit tubuh, lidah, pipi, dan anggota badan yang lain bagi tujuan membersihkan dosa dan menyucikan diri. Mereka akan berkumpul beramai-ramai sambil membawa 'kavadi'. Biasanya, pembawa 'kavadi' ini berada dalam keadaan terpukau sambil mengikut rentak lagu yang dimainkan.

Di Malaysia, pembawa 'kavadi' ini akan berarak dan menaiki 272 anak tangga di Batu Caves sehingga sampai di pintu gua dan meletakkan kavadi dihadapan patung dewa. Selain itu, penganut agama Hindu juga akan membawa kelapa, madu, dan susu untuk dipersembahkan kepada dewa-dewa bagi mendapatkan restu.

Perayaan Thaipusam di Malaysia, biasanya disambut secara meriah bagi masyarakat yang beragama Hindu. Perayaan ini turut mendapat perhatian daripada masyarakat yang berbangsa lain. Oleh itu, tidak hairanlah banyak pelancong yang datang dan merakamkan suasana menarik semasa sambutan perayaan ini.
BERIKUT IALAH VIDEO PENYAMBUTAN PERAYAAN THAIPUSAM
 

Saturday, 15 February 2014

6) PERAYAAN DI MALAYSIA

DEEPAVALI

Hari Deepavali  merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia dan merupakan hari cuti di Malaysia.

Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalender Tamil (antara bulan Oktober dan November) dan juga dikenali sebagai pesta cahaya. 
Menurut lagenda, Raja Naragasuri yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Maha Krishnan. Sebelum mati, Raja Naragasuri meminta semua manusia agar mereka merayai hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada yang mereka yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia.

Pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali. 


AKTIVITI KAUM INDIA MERAYAKAN DEEPAVALI


Pada pagi Deepavali, penganut Hindu akan menjalani mandi minyak yang melambangkan penyucian badan dan semangat. Selepas upacara penyucian yang melambangkan permulaan yang baru, penganut Hindu akan mengunjungi kuil dimana patung dewa Hindu akan dikalungkan dengan kalungan bunga.

Pada pintu masuk rumah penganut Hindu hiasan "kolam", hiasan bungaan halus yang dilakarkan di atas tanah yang biasanya diperbuat daripaja bijiran pelbagai warna akan diletakkan. Hiasan "kolam" ini merupakan lambang penyembahan dewa Lakshimi, Dewa Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai hiasan "kolam" di pintu masuk rumah mereka.

"Kolam" merupakaan upacara keagamaan bagi penganut Hindu dan orang Islam adalah dilarang mengikutnya.





MAKANAN TRADISI KAUM INDIA PADA PERAYAAN DEEPAVALI

Antara makanan tradisi yang selalu di hidangkan masa perayaan deepavali ialah
Meruku
Meruku bukan sahaja menjadi antara kuih kegemaran masyarakat India, malah menjadi kegemaran masyarakat Malayu juga. Meruku selalunya dibuat pada musim perayaan dan kenduri kendara. Meruku tersebut boleh dibuat dalam pelbagai bentuk sama ada bulat panjang atau bintang panjang. Sungguhpun begitu cara pembuatannya adalah sama. Ramuanya yang terdiri daripada pelbagai jenis rempah menambahkan lagi aroma dan kelazatan meruku tersebut. Pada masa kini, meruku juga dihidangkan pada hari-hari biasa dan dijual secara meluas di Malaysia.
Thosai
hosai juga sejenis makanan tradisional yang terkenal di kalangan kaum India. Selain itu thosai sering juga dihidangkan ketika hari perayaan seperti Deepavali dan majlis-majlis keraian dan hari jadi. Thosai dijual di gerai-gerai dan restoran-restoran India. Thosai biasanya dimakan ketika sarapan dan minum petang. Rasa thosai sedap tetapi agak masam. Thosai bertambah enak jika dimakan bersama sambal sardin, kelapa yang telah dimasak dan kuah kari
Putu Mayam

Putu mayam ialah sejenis makanan manis yang selalunya dimakan ketika sarapan pagi ataupun sebagai snek. Putu mayam diperbuat daripada adunan tepung beras yang dicampur dengan air, santan kelapa yang kemudiannya, doh itu ditekan ke penyaring untuk menjadikannya seperti mi halus. Selepas itu, ia akan distimkan dengan perahan air daun untuk dijadikan sebagai perasa. Setelah siap, mi itu akan dihidangkan bersama-sama parutan kelapa dan gula melaka.
 Vadai
  Vadai merupakan kuih yang paling digemari oleh kebanyakan masyarakat Malaysia. Ianya adalah sejeis makanan tradisional jenis kering .Kuih tersebut berbentuk gelung. Ianya amat sesuai dihidangkan ketika masih panas dan sebagai hidangan minum petang. Selain itu ianya turut dihidangkan pada hari perayaan Deepavali. Vadai atau disebut 'Wah-dei', merupakan sejenis makanan orang India selatan. Terdapat juga hirisan cili hijau, daun kari dan bawang merah dicampurkan sekali. Vadai perlu digoreng dengan minyak masak yang banyak untuk memastikan gorengannya menjadi mampat

Idli

Idli juga berasal dari India.Idli mempunyai banyak jenis. Contohnya, sanna,rave atau sambar idli.Ia dimakan sebagai sarapan pagi ataupun sebagai makanan ringan.Makanan ini sering dihidang dengan sambal dari buah-buahan,sambar dan lain-lain.Bahan utamanya ialah vigna mungo dan nasi.


PAKAIAN TRADISI KAUM INDIA KETIKA MERAYAKAN DEEPAVALI

Berikut ialah orang India merayakan Deepavali, pakaian yang akan dipakai ialah :-



 
 

 
 

5) PERAYAAN DI MALAYSIA

CHAP GOH MEH

 Hari kelima belas bagi perayaan ini iaitu hari ‘ Chap Goh Mei ‘ tidak kurang pentingnya. Ia adalah hari terakhir bagi bulan penuh, menandakan penutup bagi perayaan ini.            
Perayaan tersebut jatuh pada malam 15 hari bulan, bulan pertama Imlek China. Hari itu juga disebut "Pesta Lampu", kerana lampu-lampu dinyalakan pada sebelah malam sebagai aktiviti utama pada hari perayaan itu.

Menikmati onde-onde dan memasang lampu-lampu merupakan dua perkara utama perayaan ini. Mengapa memasang lampu-lampu pada Hari Capgome? Pada tahun 180 Sebelum Masihi, China diperintah oleh Dinasti Han. Maharaja pada ketika itu, maharaja Liu Heng berjaya mematahkan gerakan penderhakaan. Hari itu kebetulan 15 hari bulan bulan pertama Imlek Cina. Untuk merayakan kejayaan tersebut, Liu Heng memerintahkan lampu-lampu dipasang di seluruh negara. Beraneka bentuk lampu dipasang di tepi-tepi jalan pada hari itu. Adat istiadat tersebut diamalkan sehingga kini.
Lampu-lampu tersebut biasanya diperbuat dengan kertas yang berwarna-warni, berbentuk seperti gunung, bangunan, orang, bunya, burung dan binatang. Sekarang teknologi moden yang canggih ianya diperbut dari gentian optik, laser, kawalan bunyi dan cahaya juga telah digunakan dalam pembuatan lampu-lampu warna-warni.

Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan oleh kaum Cina di merata dunia, malah turut dirayakan oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong China) yang dipengaruhi oleh China dari segi kebudayaan dan keagamaan.






4 ) PERAYAAN DI MALAYSIA

CHINESE NEW YEAR @ TAHUN BARU CINA @ GONG XI FA CAI

 Sejarah Tahun Baru Cina
 
Sejarah Tahun Baru Cina bermula beribu-ribu tahun dahulu, di mana seekor makhluk ganas yang bernama ‘Nian’ membuat huru-hara di Tanah Besar China. Ini membuatkan manusia hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan. Mereka mencari ikhtiar untuk menewaskan makhluk ini. Akhirnya mereka berjaya menakutkan makhluk ini dengan melemparkan reben merah ke udara, meletupkan mercun dan membakar bunga api siang dan malam.

Perayaan Tahun baru Cina adalah menandakan permulaan tahun baru bagi kalender masyarakat Cina. Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian ‘cheongsam’ , ia menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat cina.

 Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.

Perayaan yang bersamaan dengan  permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada bulan baru dan zodiak baru. Seperti yang kita ketahui, terdapat 12 ekor binatang yang menjadi simbol tahunan kepada orang Buddha. Lagenda meriwayatkan, bahawa suatu masa dahulu Buddha telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya, tetapi Cuma 12 binatang sahaja yang sampai. Sebagai penghargaan dari Buddha, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina Buddha. Binatang-binatang itu ialah anjing, khinzir, tikus, monyet, harimau, kambing, ayam, kuda, ular, naga, lembu dan arnab. Kononnya dikatakan bahawa mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan untung nasib binatang tersebut.









 AKTIVITI MALAM TAHUN BARU CINA

 Pada malam Tahun Baru , kaum keluarga sama ada dekat atau jauh akan berkumpul di rumah ibu bapa untuk upacara makan besar. Ini simbol eratnya ikatan kekeluargaan yang menjadi tunjang masyarakat harmoni. Hidangan makan malam tahun baru ini biasanya adalah tradisi  turun temurun seperti itik panggang, khinzir, tiram berkicap, dan sayuran ‘prosperity’ yang dimakan bersama arak.       

Selesai makan, semua ahli keluarga akan berdoa dan menjalankan upacara ‘shuo sui’ , yang dipercayai akan memanjangkan umur seseorang. Bagi yang tua,  malam tahun baru akan dihabiskan dengan bermain ‘mah jong’ sebagai hiburan untuk merapatkan hubungan antara ahli keluarga. Tepat detik tengah malam, mercun dan bunga api akan dibakar, menandakan sambutan tahun baru bermula.






AKTIVITI PADA SIANG TAHUN BARU CINA

 Apabila hari siang, lilin upacara akan dibakar, pakaian baru yang berwarna merah akan memeriahkan suasana, di samping ucapan ‘Kong Hee Fatt Choy’ akan diucapkan sesama penganut. Ia membawa maksud ‘ semoga tahun ini akan membawa kebaikan’. Tetamu mula berkunjung membawa limau mandarin, yang bermaksud kekayaan manakala tradisi memberi ‘ang pow’ diteruskan kepada kanak-kanak dan orang yang belum berkahwin.
Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang.




3 ) PERAYAAN DI MALAYSIA

2. HARI RAYA AIDILADHA

Hari Raya Aidiladha atau juga disebut Hari Raya Korban dan Hari Raya Haji merupakan perayaan agama yang disambut oleh seluruh umat Islam di dunia. Hari raya ini menandakan berakhirnya tempoh mengerjakan ibadat haji di Mekah, iaitu sehari selepas jemaah haji mengerjakan wukuf di Arafah.

Orang-orang Islam menyambut Aidiladha pada tanggal 10 Zulhijjah pada setiap tahun. Malah, bulan ini merupakan bulan terakhir dalam kalendar Hijrah Islam. Perkataan 'Aidiladha' berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud 'hari penyembelihan korban'. Ini sempena memperingati kisah Nabi Ibrahim A.S yang diperintahkan oleh Allah S.W.T agar menyembelih anaknya, iaitu Nabi Ismail A.S.

Walaupun dengan hati yang amat berat, Nabi Ibrahim terus taat dengan suruhan Allah untuk menyembelih anaknya. Walau bagaimanapun, Allah telah menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas.Sehubungan dengan itu, sebagai mengingati perintah Allah kepada Nabi Ismail ini, masyarakat Islam yang berkemampuan digalakkan menyembelih binatang seperti kambing atau lembu sebagai korban pada hari raya ini. Daging sembelihan ini akan dibahagikan, terutamanya kepada fakir miskin.


Sambutan Hari Raya Aidiladha di Malaysia, biasanya dimulakan dengan bacaan takbir dan tahmid secara berjemaah di masjid. Selepas itu, disusuli pula dengan sembahyang sunat Aidiladha pada waktu pagi. Kemudian bacaan khutbah akan diperdengarkan yang berkisarkan tentang pengorbanan dan perjuangan Nabi Ibrahim.

Selepas habis mendengar khutbah, umat Islam akan mengambil kesempatan berkunjung ke rumah saudara mara dan sahabat handai untuk mengeratkan silaturahim sambil menjamu selera dengan juadah istimewa. Acara penyembelihan korban pula akan diadakan selepas itu dan tiga hari berikutnya, iaitu pada 11, 12, dan 13 hari Tasyrik. Seluruh masyarakat akan bersama-sama membuat kerja-kerja penyembelihan tersebut.

Sambutan Hari Raya Aidiladha di Malaysia, biasanya disambut meriah oleh masyarakat di pantai timur, berbanding dengan masyarakat Islam di sebelah pantai barat yang menyambutnya dengan cara yang agak sederhana. 








 Berikut ialah video penyembelihan lembu sempena Hari Raya Aidiladha



                                          



Wednesday, 12 February 2014

2 ) PERAYAAN DI MALAYSIA

PERAYAAN BANGSA MELAYU

Menurut kajian, penduduk yang ramai dalam negara Malaysia ini ialah bangsa melayu. Di Malaysia, orang yang berbangsa melayu rata - ratanya adalah beragama Islam. Orang Islam di Malaysia menyambut dua jenis perayaan iaitu Hari Raya Aidilfitri atau nama lain Hari Raya Puasa dan Hari Raya Aidiladha atau nama lainnya ialah Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji.

Kedua - dua jenis perayaan ini disambut dengan cara yang sama tetapi ada juga perbezaan antara kedua - dua perayaan ini. Berikut ialah penjelasan mengenai kedua - dua perayaan tersebut


1.   HARI RAYA AIDILFITRI

  Pada tanggal 1 Syawal tahun Hijrah, seluruh masyarakat Islam di dunia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Di Malaysia, sambutan hari raya ini disebut juga sebagai Hari Raya Puasa. Hari raya ini setelah menghabiskan kewajipan puasa pada bulan Ramadan.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini akan ditentukan harinya apabila anak bulan Syawal (rukyah) dapat dilihat pada penghujung bulan Ramadan. Ini mengikut hisab berdasarkan Takwim Tahun Islam. Kebiasaannya, apabila sudah ditentukan 1 Syawal itu, pada malamnya, umat Islam akan beramai-ramai bertakbir hari raya di masjid atau pun surau.

Keesokan harinya, semua umat Islam, lelaki dan perempuan akan ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri secara berjemaah. Di negara kita, sambutan Hari Raya Aidilfitri ini disambut secara meriah pada setiap tahun.

Bermula seawal bulan Ramadan lagi, umat Islam akan membuat persiapan tertentu untuk menyambut kedatangan hari raya ini. Antara tradisi umat Islam di negara ini, menjelang kedatangan 1 Syawal ini, adalah dengan menyediakan pakaian baru untuk keluarga, menghias rumah, dan membuat berbagai-bagai jenis kuih tradisi untuk dihidangkan kepada para tetamu yang datang berkunjung ke rumah.

Selain itu juga, umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah bagi setiap anggota keluarga. Kadar nilai zakat ini ditentukan oleh harga semasa beras, iaitu makanan asasi rakyat di negara kita.

Pada hari raya Aidilfitri juga, umat Islam akan meyediakan berbagai-bagai jenis juadah tradisional seperti lemang, ketupat, nasi himpit, dodol, dan lain-lain lagi untuk tetamu yang datang berkunjung dan beraya di rumah mereka. Bagi kanak-kanak pula, mereka amat gembira kerana dapat bergaya dengan pakaian yang baru serta mendapat duit raya apabila beraya dengan orang dewasa. Amalan memberi duit raya ini adalah suatu tradisi yang diamalkan oleh masyarakat Islam di negara kita pada hari raya, iaitu untuk bersedekah dan menggembirakan anak-anak yang masih muda.

Selain itu, pada hari raya juga, umat Islam di Malaysia mengambil kesempatan untuk berkunjung ke pusara ahli keluarga dan saudara mara. Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia lebih bermakna pada hari ini dengan konsep rumah terbuka yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu.


Ini ialah antara makanan yang biasa dihidangkan setiap kali perayaan Aidilfitri



Ini pula ialah antara pakaian yang dipakai semasa Perayaan Aidilfitri.


1) PERAYAAN DI MALAYSIA

PENGENALAN


Di Malaysia terdapat pelbagai kaum, agama dan bangsa yang mempunyai budaya dan pemahaman masing - masing bergantung pada agama yang mereka anuti. Antara kaum yang ada di Malaysia ialah kaum Melayu, India, Cina, Kadazan, Iban, Kristian, Orang asli dan sebagainya. 

Setiap agama dan  kaum ada perayaan dan budaya mereka sendiri. Perayaan - perayaan inilah yang menghiasi dan mewarnai keindahan Malaysia kerana setiap perayaan ada keistimewaan masing- masing. Perayaan - perayaan ini juga mampu menarik minat pelancong dari pelbagai negara untuk sama - sama menikmati dan merasai keindahan perayaan - perayaan yang ada di Malaysia. 

Inilah keistimewaan Malaysia yang tidak terdapat dalam negara- negara maju yang lain. Oleh yang demikian, sebagai rakyat Malaysia saya bangga menjadi rakyat Malaysia dan sebagai seorang pendidik saya harus memperkenalkan budaya yang ada kepada anak - anak didikan saya dan menerapkan nilai -  nilai cintakan negara yang mereka duduki.